13 March 2013

Telefon Pintar, Keselamatan & Privasi


Kita telah pun memahami dan mengakui akan kesan yang dibawakan oleh telefon pintar kepada pengguna di seluruh dunia. Kita juga akui salah satu perkara yang menjadikan telefon pintar popular adalah kerana jaringan sosial media.
Media sosial pula menjadi satu ‘syurga’ bagi mereka yang mengumpulkan data. Setiap hari kita akan berkongsi dengan sesiapa sahaja akan apa yang kita sedang buat, berkongsi di mana kita berada, apa yang kita makan, berkongsi gambar, dan pelbagai lagi.

Internet & Sambungan Tanpa Wayar

Apalah menariknya telefon pintar kalau tanpa Internet. Dengan pengenalan teknologi 3G sambungan internet menjadi semakin laju. Dan kini, teknologi LTE pula bakal mengambil alih peranan 3G. Proses muat turun dan muat naik menjadi semakin pantas. Di Amerika Syarikat, LTE sudah jadi sinonim, manakala di Malaysia, ia masih lagi dalam peringkat percubaan.
Kebanyakkan telefon pintar mempunyai WiFi yang membolehkan pengguna untuk membuat sambungan internet sama ada melalui ‘internet hotspot’ peribadi mahupun yang terbuka. Kita bolehlah mengambil mudah sekiranya menggunakan sambungan peribadi, tetapi sekiranya anda menggunakan sambungan awam, anda perlu fikirkan sekali lagi.
Sambungan percuma inilah yang selalunya menjadi sasaran kepada penjenayah siber untuk mencuri data peribadi kita tanpa kita sedari. Ia termasuklah nombor telefon, log internet, gambar, video dan sampai satu tahap, mengawal telefon pintar kita sepenuhnya. Yang pakar sahaja boleh lakukan ini.
Harus ingat, yang tidak pakar pun mampu untuk mengambil informasi mengenai anda. Satu aplikasi – FaceNiff, telah dibangunkan dengan satu tujuan – membolehkan pengguna aplikasi berkenaan untuk ‘memintas’ pemindahan data aplikasi Facebook dari telefon ke Wi-Fi awam yang anda berhubung. Rujuk disini untuk mengetahui bagaimana ia berfungsi.
Ada satu laporan mengatakan pihak Al-Qaeda menggunakan Bluetooth untuk menyebarkan mesej – mesej mereka dan juga untuk mengambil ahli baharu. Mereka jarang menggunakan internet kerana ia boleh dikesan melalui nombor IP. Mereka menganggap Bluetooth Personal Area Network adalah satu fungsi ‘pocket to pocket’ yang sangat berkesan dan sukar untuk dikesan oleh pihak perisikan barat. Kini teknologi NFC juga memudahkan proses pemindahan data.

Gambar, Video & GPS

Oleh kerana internet di telefon pintar semakin pantas, gambar dan video yang kita ambil secara automatik akan dimuat naik ke storan awan. Perkhidmatan ini telahpun ditawarkan oleh Facebook, Google dan Dropbox.
Gambar yang kita ambil akan mengandungi beberapa data, contohnya, tarikh, jenis camera, saiz, lokasi dan lain – lain. Tahukah anda data lokasi yang ada pada gambar anda adalah hampir tepat dengan lokasi yang anda berada ketika itu.
gpsphoto
Informasi sebeginilah yang menyebabkan pengasas perisian antivirus McAfee telah ditangkap oleh pihak berkuasa. Seorang wartawan telah memuat naik gambar yang terdapat data lokasi dimana pengasas ketika itu berada. Pengasas berkenaan, membuat keuntungan berjuta – juta melalui penjualan satu perisian sekuriti siber yang kompleks, tetapi tewas dengan hanya satu fungsi asas telefon pintar. Menariknya McAfee telahpun membangunkan satu aplikasi yang menghalang orang lain menyalahgunakan gambar anda.

Aplikasi

Kesemua Sistem Operasi telefon pintar mempunyai satu ‘store’ yang khusus untuk anda memuat turun aplikasi. iOS melalui iTunes, manakala Android melalui Google Play. Untuk iOS, setiap aplikasi yang dihantar akan melalui proses pengesahan oleh pasukan Apple dan tidak membenarkan anda untuk memasang aplikasi secara manual. Berbeza dengan iOS, di Android, anda boleh memasang aplikasi yang tidak terdapat di Google Play secara manual.
Terdapat pelbagai aplikasi yang secara tidak sedar boleh mendedahkan anda kepada bahaya. Foursquare, Facebook Check In, Instaplace, dan lain – lain yang boleh mendedahkan lokasi. Cuba bayangkan ada seseorang ‘peminat diam’ anda mengambil data – data lokasi anda, kemudian membentuk satu patern pergerakan anda, kemungkinan peminat ini boleh meramal kedudukan anda seterusnya.
Atau ada juga aplikasi yang boleh memuat naik data sensitif tanpa anda sedari.

Langkah Keselamatan

Terdapat pelbagai cara untuk minimakan pendedahan privasi anda kepada umum. Langkah – langkah berikut dicadangkan:
  1. Pastikan diri anda sentiasa sedar dan mengambil tahu mengenai keselamatan semasa telefon pintar. Kajian menunjukkan, sistem keselamatan yang paling ketat boleh diceroboh dengan hanya kecuaian seorang manusia.
  2. Memasang aplikasi anti-virus dan anti-malware. Saya cadangkan Lookout.
  3. Anda juga boleh kawal akses aplikasi Android anda. Rujuk di sini.
  4. Elakkan memasang aplikasi secara manual, sebaliknya muat turun melalui Google Play sahaja. Seterusnya baca komen – komen mengenai aplikasi berkenaan.
  5. Baca dan faham maksud “permission” yang dipaparkan setiap kali anda ingin memasang aplikasi.
  6. Mematikan fungsi tetapan GPS pada gambar. Buka aplikasi kamera anda, pilih tetapan, dan tutup fungsi ‘Store Location’.
  7. Ambil gambar yang baik – baik sahaja. ;-)
  8. Minimakan penggunaan ‘public hotspot’.
  9. Benarkan orang yang anda percayai sahaja ‘follow’ anda.
Apapun, apa yang paling penting, kita hendaklah sentiasa berhati – hati dalam apa sahaja yang kita lakukan. Dalam dunia yang sentiasa berhubung ini, dalam diam, kita tidak sedar bahawa kita telah mendedahkan diri kita kepada bahaya.

No comments:

Post a Comment